Apr 29, 2009

Aktiviti 2 : Refleksi Kumpulan

Ketua: TAN SIN YEE(P48643)
Pencatat:SYAIDATUL HAINI MOHD RADZI(P48676)
Pembentang:ADELYN SAW YING YU(P48662)


Refleksi ke atas masalah/penambahbaikan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran sesuatu tajuk selepas mempelajari kursus Kaedah Mengajar.

Tajuk yang dipilih : Nutrisi (Nutrition)

Masalah/Penambahbaikan yang perlu diambil tindakan:

Tajuk ini merupakan satu tajuk yang panjang dan pelajar perlu mengingati banyak maklumat seperti jenis-jenis nutrisi,malnutrisi, konsep gizi seimbang dan sebagainya. Kaedah pengajaran yang biasa digunakan adalah kuliah dan cara ini didapati tidak berkesan dan membuatkan pelajar berasa bosan.

Strategi/kaedah pengajaran untuk mengatasi masalah

Strategi yang kami cadangkan adalah dengan menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik.

1. Bawa bahan sebenar semasa proses P&P seperti contoh makanan (roti Gardenia, buah-buahan, sayur-sayuran, botol dan tin minuman ). Dengan menggunakan bahan sebenar, pengajaran akan lebih menarik dan pelajar juga dapat melihat gambaran sebenar. Contohnya, pelajar boleh terus mendapat informasi tentang kandungan nutrisi sesuatu makanan itu daripada bungkusan makanan tersebut dan membuat perbincangan di dalam bilik darjah.

2. Guru juga boleh membawa carta piramid makanan yang sebenar ke dalam bilik darjah semasa menerangkan topik konsep gizi seimbang. Cara ini didapati lebih menarik kerana jika dibandingkan dengan gambarajah di dalam buku, bahan bantu mengajar seperti piramid makanan sebenar lebih jelas untuk dirujuk dan lebih berwarna warni. Kaedah ini dapat memastikan pelajar lebih tertarik untuk menumpukan perhatian semasa proses P&P.

3. Kaedah seterusnya adalah dengan menunjukkan gambar-gambar sebenar seperti topik malnutrisi. Bagi topik ini guru boleh menunjukkan gambar sebenar kanak-kanak yang tidak mendapat gizi seimbang seperti osteomalasia dan kwasyiokor. Kaedah seperi ini bukan sahaja mampu menarik minat pelajar tetapi juga membantu mereka mengingati maklumat dengan lebih mudah dan cepat dengan kaedah visual.

4. Akhir sekali, guru boleh memberikan alamat website yang sesuai mengenai topik berkaitan untuk rujukan lanjut para pelajar selepas waktu P&P seperti waktu mengulangkaji pelajaran di rumah.

Cara untuk mengumpul data dan memantau

1. Melalui soal jawab secara terus dengan pelajar untuk mendapat maklumbalas daripda mereka semasa proses P&P. Dengan cara ini guru dapat memantau sejauh mana langkah-langkah yang telah diambil memberi kesan.

2. Guru juga boleh memberi kuiz selepas selesai pengajaran untuk memantau sejauh mana pemahaman pelajar.

Cara untuk menilai

Selepas melaksanakan strategi yang dirancang, guru boleh menilai dengan membuat refleksi kendiri dan meneruskan tindakan dengan menggunakan proses : revised plan, act, observe and reflect.

Aktiviti 1 : Refleksi Individu

• Senarai penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam diri saya selepas BIG II:

1. Sistem pengurusan masa sendiri
2. Aspek pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam diri.

Rancangan Pelan Tindakan untuk menambahbaik
Matlamat : Untuk menambahbaik aspek positif dalam diri.
Objektif
I. Lebih bijak mengurus masa sendiri.
II. Meningkatkan aspek pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam diri.

Pelan Tindakan

• Langkah-langkah yang perlu diambil :

1. Menyediakan jadual harian untuk diikuti setiap hari dan catat serta susun setiap tugasan yang perlu diselesaikan mengikut keutamaan. Saya juga akan memastikan jadual harian yang dibuat termasuk waktu untuk mengulangkaji pelajaran supaya saya tidak akan terbeban apabila terjebak dalam situasi ‘study last minute’.

2. Saya akan banyak membaca bahan-bahan ilmiah untuk menambahkan pengetahuan sebagai seorang guru.Di samping itu, saya juga dapat memantapkan ‘content knowledge’ saya.

• Cara untuk mengumpul data

1. Membuat catatan harian untuk melihat sejauh mana langkah-langkah yang diambil memberi kesan.

2. Sentiasa berkongsi dan berbincang dengan rakan-rakan tentang bahan yang telah dibaca untuk melihat sejauh mana pengetahuan saya telah bertambah. Perbincangan yang dilakukan juga dapat memberi peluang kepada saya untuk saling bertukar pandangan dan pendapat.

• Cara untuk memantau apa yang telah dirancang

1. Saya akan meminta pendapat rakan-rakan tentang peningkatan diri saya.

2. Saya juga turut membandingkan saya dengan rakan-rakan yang lain terutamanya dari segi cara rakan-rakan menguruskan masa mereka.

• Cara untuk menilai apa yang dirancang dan dilaksanakan tercapai

Saya akan membuat refleksi tentang apa yang telah dirancang dan apa yang telah dilaksanakan.

Apr 26, 2009

Jenis, Proses serta Contoh

Jenis Kajian Tindakan

1. Individu - melibatkan seorang guru untuk meningkatkan pencapaiannya sendiri dalam bilik darjah, fokus kepada satu isu/masalah di dalam bilik darjah sahaja.

2. Kolaboratif - melibatkan lebih dari 2 orang guru mengkaji permasalahan dalam satu bilik darjah atau beberapa bilik darjah yang berkongsi masalah yang sama. Boleh melibatkan guru-guru dalam bidang sama, guru-guru berlainan bidang atau guru dengan pihak luar seperti pensyarah universiti.

3. Peringkat sekolah (schoolwide) - melibatkan staf sekolah termasuk guru dan pengetua untuk meningkatkan kualiti sesebuah sekolah.

4. Peringkat daerah (district wide) - melibatkan pihak sekolah-sekolah atau dengan pihak luar untuk meningkatkan kualiti serta menyelesaikan isu antara sekolah-sekolah di peringkat daerah.

Proses Kajian Tindakan


1. Analisis masalah (IDENTIFY)

2. Rancang bagaimana menyelesaikannya (PLAN)

3. Menjalankan tindakan (ACT)

4. Pemerhatian (OBSERVE)

5. Refleksi - menilai hasil tindakan (REFLECT)






Contoh

Permasalahan : Mengapa pelajar kurang berminat bekerja dalam kumpulan?
Jika kita perhatikan, pelajar lebih suka belajar secara individu berbanding berbincang atau berkongsi pendapat dengan pelajar lain di dalam satu kumpulan di dalam bilik darjah.

Perancangan : Guru boleh cuba menerap minat belajar secara berkumpulan dalam diri pelajar dengan cara membentuk kumpulan yang terdiri daripada pelajar yang pintar,sederhana dan lemah. Dengan cara ini pelajar akan mula nampak kebaikan belajar secara berkumpulan kerana mereka dapat bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain yang tidak mungkin mereka dapat jika belajar secara individu.

Pengenalan

Apa itu kajian ?

Kajian merupakan satu proses mengumpul dan menganalisis maklumat yang sistematik untuk meningkatkan pemahaman tentang sesuatu yang dikaji. Seorang penyelidik berperanan untuk menyelidik dan menghebahkannya melalui komunikasi dengan pihak lain.

Apa itu Kajian Tindakan?

Merupakan satu kajian yang berfokus kepada usaha meningkatkan kualiti sesuatu organisasi dan pencapaiannya.

• biasanya dilakukan oleh penyelidik yang ingin meningkatkan pencapaiannya sendiri dengan cara menganalisis data.

• boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan (penyelidikan kolaboratif)

Kepentingan kajian tindakan kepada Guru.

1. Membantu guru mengesan apa sebenarnya yang sedang berlaku antara dia dan pelajarnya di dalam bilik darjah.

2. Untuk mendapatkan tindakbalas sama ada objektif pengajaran dan cara penyampaian berjaya atau gagal.

3. Untuk membantu guru menyesuaikan P&P dengan pelajar dan persekitaran bilik darjah.

4. Untuk meningkatkan pengetahuan guru dalam proses P&P dan seterusnya mampu mengawal bilik darjah dengan baik.

5. Menggalakkan guru supaya lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada buku teks dan pihak pentadbiran.

6. Memastikan seseorang guru itu tidak menjadi seorang guru yang tidak menarik atau bosan di bilik darjah.